Rasuah dan Malaysia

Rasuah merupakan satu kesalahan yang amat besar dalam undang-undang kerajaan Malaysia. Penglibatan secara langsung atau tidak dengan rasuah boleh mengundang padah yang amat berat kepada sesiapa yang sabit kesalahan rasuah. Malaysia adalah salah sebuah negara yang menolak rasuah. Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan semua rakyat harus mematuhi undang-undang berdaulatnya. Oleh yang demikian, sesiapa yang terlibat dengan rasuah harus dihukum tidak mengira bangsa, agama dan darjat.

Apakah rasuah? Rasuah adalah satu perkataan ganti bagi perbuatan memberi hadiah atau ganjaran atau balasan untuk mempengaruhi keputusan atau peranan atau perbuatan seseorang menjadi curang atau tidak telus atau tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh undang-undang atau kontrak sosial sesuatu kerajaan atau organisasi atau komuniti.

Bagaimanakah berlakunya rasuah? Mengapakah Malaysia masih lagi tidak mampu untuk berada dalam kelompok 20 teratas bagi negara-negara bersih dari rasuah? Dalam tempoh 3 tahun, dunia telah menyaksikan Malaysia jatuh 8 anak tangga iaitu dari tangga ke 39 jatuh ke tangga 47 bagi negara-negara bersih rasuah.

Statistik ini membuktikan kedaulatan undang-undang tidak dihormati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Kenapa? Adakah anak-anak kelahiran Malaysia semakin hari semakin pandai memberi dan menerima rasuah? Kalau betul mengapa tiada siapa yang ambil peduli?

Jawapannya mudah sahaja. Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat. Tetapi implimentasi dan penguatkuasaannya amat lemah. Mengapa lemah? Kerana rakyat Malaysia suka bagi muka dan suka bagi peluang kedua. Suka buat duit cepat tanpa mengikut laluan yang betul. Tapi didikan siapa? Didikan ayah dan ibu? Berapa ramai ayah dan ibu di rumah mengajar anak mengambil rasuah? Atau masalah ini berlaku di akar umbi kerajaan itu sendiri, hingga merebak ke seluruh darah daging penghuninya.

Cuba fikirkan. Adat kerajaan kita dari zaman dahulu kala ketika memberi hadiah kepada raja-raja bagi memenangi hati mereka. Apakah nama proses ini? Tidakkah ini dinamakan rasuah untuk diminati? Bagaimana pula sekarang jika kita mahu meluluskan projek perumahan di mana terdapat jumlah peratus yang harus diberikan kepada badan-badan tertentu dalam amaun yang terlalu melampau. Untuk apa? Apakah ini bukan rasuah wang? Bagaimana pula dengan kawasan-kawasan yang tidak mendapat bantuan kewangan kerajaan pusat kerana tidak mengundi parti memerintah hinggakan jalan rosak dan kacau bilau tidak dihindarkan? Apakah ini bukan rasuah undi?

Kalau mahu banteras, banteras habis-habisan. Jangan bagi muka. Jangan hirau siapa. Jangan hirau parti mana. Jangan hirau agama apa. Jangan hirau anak siapa. Jangan hirau kaum apa. Jangan hirau darah keturunan apa. Kalau darah nabi sekali pun, kalau salah terang-terang harus dihukum sepenuhnya. Sudah buat salah harus dihukum. Mereka yang melindungi pesalah harus dihukum juga.

Andaikata ini tidak dipraktikkan, Malaysia akan terus jatuh dan jatuh dan jatuh. Tiada penghujungnya. Negara kita akan corot, dan akan menjadi mahsyurlah Malaysia dengan rasuahnya. Hidup undang-undang yang berdaulat!

No comments: